Tuesday, May 19, 2009

SELAMAT HARI GURU

Bersempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini yang bermottokan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di Malaysia.


Hari khusus pada setiap tahun ini adalah untuk memperingati budi dan jasa para guru di dalam menyempurnakan pengajaran kurikulum akademik dan dalam masa yang sama mendidik generasi pelajar selama ini. Sekalipun hakikatnya, para guru harus dihargai pada setiap masa sesuai dengan martabatnya yang mulia di dalam masyarakat.

Yakinlah bahawa, komitmen yang ditunjukkan oleh para guru di dalam mendidik generasi pelajar hari ini adalah amanah berat namun mulia yang perlu diteruskan dengan segenap daya upaya. Demi memastikan kesinambungan generasi terdahulu dengan yang berikutnya. Guru merupakan tali penyambung yang sebenarnya menjamin masa depan kegemilangan Malaysia.



PKPIM mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada para guru Malaysia. Teruskan perjuangan melahirkan generasi muda yang berwawasan dan berwibawa serta bermoral tinggi untuk menyambung ketamadunan Malaysia. PKPIM akan sentiasa menyokong dan mendukung usaha murni para guru di dalam proses pendidikan generasi pelajar hari ini.


KHAIRUL ANWAR BIN SHAZALI
Setiausaha Agung PKPIM