Showing posts with label Keratan Akhbar. Show all posts
Showing posts with label Keratan Akhbar. Show all posts

Friday, March 12, 2010

Mahasiswa boleh kritik kerajaan- Saifuddin

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar sentiasa memperbetul setiap perkara yang dilihat salah bukan sahaja di universiti malah dalam pentadbiran negara.

Bercakap dalam satu forum anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Fakulti Sastera Sains Sosial Universiti Malaya malam tadi, Saifuddin berkata, ianya memerlukan keberanian dalam diri setiap mahasiswa dan mereka harus bertindak secara berjemaah.

Mahasiswa juga tegasnya boleh melontarkan kritikan kepada kerajaan dan kerajaan pula tidak seharusnya melabelkan pengkritik sebagai pembangkang.

"Mahasiswa boleh mengkritik Kerajaan, dan Kerajaan tidak boleh cop pengkritik sebagai pembangkang," katanya di hadapan lebih 150 mahasiswa yang hadir.

Menyentuh mengenai sudut pidato yang dihidupkan semula di IPT selepas 20 tahun ianya dihentikan, Saifuddin berkata, sudut pidato merupakan satu platform yang sesuai untuk mahasiswa melontarkan idea mereka melalui pengucapan awam.

Bagaimanapun, beliau yang mengakui mahasiswa mempunyai potensi untuk menggugat pentadbiran universiti mahu Hal Ehwal Pelajar (HEP) agar meletakkan halatuju yang betul dan memahami matlamat sudut pidato dihidupkan semula.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak universiti tidak mengenakan terlalu banyak peraturan terhadap penuntut yang ingin membuat pengucapan awam di sudut pidato sebaliknya memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk mengendalikannya.

"Apa maksud mahasiswa menggugat? Mengugat apa? Menteri? Organisasi, HEP, atau KPT?Amalan buruk, rasuah, kebejatan, kebobrokan?

"Melalui sudut pidato. mahasiswa ada potensi menggugat. Sebab itu HEP perlu ada halatuju yang betul dan faham matlamat sudut pidato. Tak perlu banyak undang-undang dan arahan dalam sudut pidato. Biarkan mahasiswa bebas mengendalikan sudut pidato.

"Mahasiswa boleh berfikir dan menentukan halatuju kampus sendiri," katanya.

Sudut pidato kembali diwujudkan di UM selepas lebih 20 tahun ia diharamkan apabila Akta kolej dan Universiti (AUKU) diperkenalkan.

Dua lagi panelis forum 'Mahasiswa Menggugat: Antara Realiti dan Fantasi' itu, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof. Dr. Redzuan Osman dan bekas bekan fakulti berkenaan, Prof. Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar yang juga penulis buku 'Mahasiswa Menggugat'.

http://www.harakahdaily.net/

Wednesday, February 24, 2010

Kemunduran politik punca kejatuhan negara

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengingatkan semua pihak bahawa kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran akibat budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek.

Baginda bertitah, perkara negatif itu berpunca daripada perasaan takut dan gentar di kalangan pemimpin yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar.

Titah baginda, pemikiran sedemikian amat destruktif kerana ilmuwan sepatutnya terus dimuliakan bagi membina kekayaan dan khazanah intelek negara.


"Pimpinan yang stabil dan negara yang maju sentiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuwan dan menyediakan persekitaran politik yang tidak memusuhi kumpulan ilmuwan.

"Kekayaan intelek negara harus terus ditambah melalui usaha-usaha yang memberikan dorongan dan keyakinan kepada ilmuwan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sewaktu melancarkan buku Knowledge, Language, Thought And The Civilization Of Islam: Essays In Honor Of Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Kampus Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah sarjana Islam terkemuka, Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas; Pro Canselor UTM, Tan Sri Dr. Abdullah Ayub serta Datuk Dr. Muhamad Ridzuan Muhamad Salleh dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang.

Buku terbitan UTM Press itu mengandungi 22 esei hasil penyelidikan 24 sarjana dengan tujuan merakamkan pengiktirafan terhadap Syed Muhammad Naquib selaku ilmuwan bertaraf dunia.

Penulis esei berkenaan terdiri daripada sarjana dari serata dunia seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat (US), Bahrain, Mesir, Gambia, Iran, Iraq, Jerman, Macedonia, Belanda, Russia, Turki, United Kingdom (UK) di samping sarjana tempatan.

Terdahulu sewaktu mengulas pemikiran Syed Muhammad Naquib, Raja Nazrin bertitah bahawa ilmuwan itu tidak pernah mendapatkan naungan politik untuk melonjakkan kedudukan kerana tidak mahu pemikirannya terikat dengan mana-mana kumpulan politik.

Baginda bertitah, pendirian berkenaan adalah kerana ilmuwan terbilang itu tidak reda kejernihan tasik pemikirannya dicemari oleh pelbagai polemik dan persengketaan politik atas hasrat mendapat, mengguna, menyalahguna mahupun mempertahankan kuasa.

Titah baginda, Syed Muhammad Naquib juga mentafsirkan bahawa kemerdekaan sebenar bermula dengan kemerdekaan minda untuk berfikir dan bertindak bersandarkan prinsip ilmu, pengetahuan dan tradisi bernilai sesebuah negara.

"Pada hemat beliau, bila berlaku perselisihan pandangan atau kelainan tafsiran di antara seorang sarjana dengan kerajaan dalam perkara-perkara tertentu, kerajaan jangan terlalu cepat menganggap mereka sebagai ahli politik pembangkang yang memang lazimnya mencari kesalahan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan.

"Tetapi hendaklah dihargai bahawa minda seseorang sarjana itu merasakan dirinya bertanggungjawab mendidik masyarakatnya di samping memiliki keberanian serta memaklumkan kepada kerajaannya tentang fakta dan hakikat yang berlaku," tegas baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, baginda turut memuji Syed Muhammad Naquib kerana komited menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu walaupun mendapat pendidikan tinggi dalam bahasa Inggeris.

Baginda bertitah, Syed Muhammad Naquib juga amat gigih berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Universiti Malaya (UM) walaupun mendapat tentangan hebat dari pensyarah lain di samping menjadi pendukung utama penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Penulisan-penulisan beliau dalam bahasa Melayu memberikan nilai ilmu kepada bahasa Melayu apabila beliau memperkenalkan gaya penulisan baru di peringkat intelek dan falsafah.

"Hanya Allah yang maha mengetahui akan gelora rasa yang beliau alami kerana pada hari ini sudah ada suara yang semakin berani mahu menggugat bahasa Melayu, bahasa ibunda pribumi yang telah diterima sebagai bahasa kebangsaan di negara ini," titah Raja Nazrin.

http://www.utusan.com.my/

Tuesday, February 16, 2010

Cabaran dan Halangan Membangun Semula Tamadun Islam

sumber : http://www.khiraummah.com

Kemunculan tamadun Islam pada abad ke-7 Masehi menandakan bermulanya era pencerahan umat manusia dan keunggulan ilmu pengetahuan. Menyedari hal ini Mulyadhi Kartanegara mengatakan bahawa renaissans pertama sebenarnya bermula pada abad ke-7 oleh umat Islam, renaissans kedua berlaku pada abad ke-16 oleh masyarakat Eropah dan diharapkan umat Islam pada abad ke 21 akan melakukan renaissanse yang ketiga.[1] Bertentangan dengan tanggapan golongan sekular, Islam pada hakikatnya sinonim dengan kemajuan sains dan teknologi. Islam mengajar manusia untuk berfikir dengan cerdas. Mengkaji alam semesta dan menjadikannya bermanfaat untuk kehidupan. Menyedari hal ini hinggakan Muhammad Iqbal berkesimpulan bahawa kelahiran Islam sebenarnya adalah kelahiran berfikir secara induktif.[2] Pemikiran induktif inilah yang melahirkan sains dan teknologi. Sebenarnya Islam dan umat Islamlah yang memperkenalkan kaedah berfikir secara saintifik dan objektif. Walaupun sumbangan saintis-saintis Muslim terhadap perkembangan tamadun Barat kurang diberikan perhatian oleh Barat sendiri, namun beberapa sarjana Barat yang telus, seperti Robert Briffault (1876-1948), telah mengakui hal ini: “science owes a great deal more to the Arab culture, its owes its existence”.[3]

Pemerhatian secara mendalam terhadap ajaran Islam semestinya akan membawa seseorang kepada kesimpulan bahawa Islam adalah agama ilmu. Kepesatan perkembangan ilmu pengetahuan pada generasi awal Islam menunjukkan bahawa sains dan agama tidak bertentangan. Malahan Islam mendukung dan mendorong pengkajian ilmiah agar misi kekhalifahan dapat tercapai. Misi kekhalifahan itu sendiri sebenarnya merupakan wawasan ketamadunan. Berbeza dengan peradaban sebelum dan sesudah Islam, visi peradaban Islam meletakkan pembangunan manusia (human development) seutuhnya atau meminjam istilah Ibn Khaldun ’‘umran bashari’ sebagai matlamat utamanya. Oleh kerananya dapat disimpulkan bahawa tamadun Islam telah berjaya mentamadunkan umat manusia, mencerahkan dan mengangkat darjat mereka agar kehidupan mereka menjadi lebih bermakna dan maju. Untuk melakukan hal ini tamadun Islam telah menghapuskan apa yang dinamakan musuh-musuh peradaban.

Musuh-musuh Peradaban

Pembangunan sesebuah tamadun harus melalui proses pembebasan minda dan jiwa. Oleh kerananya, pembangunan manusia perlu mendahului pembangunan material. Kewujudan manusia yang berkualiti ini yang akan menentukan kualiti produk yang dihasilkan. Hanya dengan demikian maka kecemerlangan dan keunggulan menjadi milik sesuatu bangsa dan bangsa lain akan mengikutinya di belakang. Apabila minda dan jiwa bangsa itu kembali beku dan mati maka ia tidak lagi mampu bersaing dengan bangsa lain dan akhirnya akan ketinggalan.



Absolutisme, watak pasrah, kebendaan (hubb al-dunya) dan mitos adalah musuh-musuh utama peradaban sejak wujudnya manusia di muka bumi ini. Kegemilangan tamadun Islam terhenti disebabkan musuh abadi peradaban ini telah menghalang umat Islam untuk menjadi produktif, terbuka dan berdaya maju. Tidak hairanlah al-Qur’an seringkali menyelar pemimpin-pemimpin yang angkuh, absolutis dan autoritarian. Demikianlah pengajaran yang boleh diambil daripada banyaknya kisah Fir’aun yang terdapat dalam al-Qur’an.[4] Kerana misi pembebasan adalah salah satu mesej utama perlembagaan Tuhan itu. Kajian terhadap sistem politik Islam, khususnya konsep-konsep shura, ijma’ (kesepakatan) dan wakalah (perwakilan), menunjukkan bahawa keadilan dan kebebasan adalah ‘benchmark’ pemerintahan Islam dan kezaliman adalah seteru bagi ajaran Islam.

Adapun kebendaan (materialism), yang menjelma sebagai hubb al-dunya (kecintaan terhadap dunia), akan menjadi musibah kepada sesebuah tamadun apabila masyarakatnya tenggelam dalam keseronokan, keselesaan hidup dan mementingkan diri sendiri (selfish). Ibn Khaldun dalam membahas faktor keruntuhan sesebuah tamadun menjelaskan bahawa apabila masyarakat telah terbuai dengan kemewahan, kesombongan dan kemalasan ia kemudian membawa kepada keruntuhan akhlak dan hilangnya perpaduan dan semangat kekitaan (al-‘asabiyyah) maka pada akhirnya semua ini menyebabkan sesebuah tamadun itu berada di ambang kehancuran.[5] Jika analisa Ibn Khaldun berdasarkan kepada tamadun Islam yang telah mencapai kemuncaknya, pada hari ini kita lihat kebendaan menjadi penghalang kepada pembangunan semula peradaban Islam.

Kita perlu mengakui bahawa musuh-musuh peradaban berada dalam diri kita sendiri sebagaimana ia juga dibawa oleh Barat. Budaya ilmu yang menjadi pemangkin peradaban masih lagi tidak diutamakan, dicurigai dan dilihat dengan berhati-hati. Kemunculan tamadun Islam menandakan kemenangan ilmu pengetahuan (knowledge triumphant) seperti yang diakui oleh Franz Rosenthal.[6] Kerananya pembinaan sebuah negara-bangsa hendaknya berdasarkan sepenuhnya kepada ilmu dan bukan political construct (hasil adunan kuasa politik). Dalam sistem Islam, sama dengan yang dikemukakan oleh Roger Bacon (1561-1626), bahawa ilmu adalah kuasa atau ‘knowledge is power[7] dan bukan power is knowledge (yang berkuasa itu berilmu) yang membawa implikasi bahawa para ilmuwan mesti tunduk kepada kuasa politik. Hanya dengan berdaulatnya ilmu, dan bukan budaya takut (the culture of fear), budaya hiburan (hedonisme), atau kebendaan (materialisme), dalam sesebuah masyarakat maka tamadun akan berkembang dengan pesat. Oleh kerananya tidak dapat diragukan lagi bahawa, seperti diungkapkan oleh Dr Siddiq Fadzil : “kesuburan intelektual sebenarnya banyak ditentukan oleh faktor kualiti kepimpinan dan dasar pemerintahan” dan kematian intelektualisme terjadi akibat daripada pemerintahan absolutis.[8]

Penjajahan merupakan satu bentuk baru perhambaan. Globalisasi yang dipimpin oleh Amerika bertujuan untuk mengukuhkan hegemoni Barat terhadap dunia. Kedua-duanya mempunyai persamaan kerana masing-masing bersikap absolutis, memaksa ‘yang lain’ (the other) untuk tunduk akan kehendak yang berkuasa. Kebencian dan permusuhan tidak pernah diajarkan oleh Islam. Bahkan tiada agama yang menerima teologi kebencian (theology of hatred). Namun demikian perangkap kebencian ini juga telah memakan kawan dan lawan. Setelah emosi mengatasi akal fikiran kedua-duanya.

Ketidakadilan dan kerosakan yang ditimbulkan oleh tamadun Barat kian nyata. Sejak perang dunia pertama, kedua dan kini ‘global war on terrorism’ kewujudan kuasa-kuasa besar pada hari ini justeru merupakan ancaman kepada keamanan dan keharmonian kehidupan manusia. Permusuhan dan kehancuran yang mengiringinya lebih dikeranakan sikap angkuh manusia dan bukan sesekali kerana perbezaan agama. Ketidakadilan dan kerosakan inilah yang dibenci dan ingin dihapuskan oleh umat Islam dan bukan ‘Barat’nya. Kerosakan ini jika dibiarkan akan mengakibatkan kehancuran tamadun manusia itu sendiri. Manusia perlukan bimbingan Tuhan untuk hidup aman dan damai oleh kerananya umat Islam percaya bahawa Islam adalah satu-satunya solusi yang dapat menyelamatkan peradaban manusia.

Kehancuran dan kepincangan yang dibawa oleh peradaban Barat ini dijelaskan dengan baik oleh Profesor Hitti:
Unfortunately during the last decade or two, in particular, the impact of the West has not been all for the good. There is a striking contrast between the humanitarian ideas professed by Western missionaries, teachers, and preachers, and the disregard of human values by European and American politicians and warriors; disparity between word and deed; and overemphasis on economic and nationalistic values. The behaviour of the so-called advanced nations during the last two wars waged on a scale unknown in history, the ability of Western man to let loose these diabolic forces which are the product of his science and his machine and which now threaten the world with destruction; and , with particular relation to the Near East, the handling of the Palestine problem by America, England, France, and other nations-all these have worked together to disillusion this man of Near East who has been trying to establish an intellectual reproachment with the West.[9]

Musuh-musuh peradaban yang telah dihapuskan oleh Islam, kini kembali lagi dengan kemasan kemodenan. Perhambaan yang telah dihapuskan secara bertahap kini kembali lagi sejak penjajahan berlaku kepada dunia-dunia ketiga dan kini dengan bertopengkan globalisasi. Penjajahan budaya yang jelas-jelas menghapuskan budaya tempatan dan menghakis nilai-nilai kemanusiaan tidak dilihat sebagai dehumanisasi melainkan sebagai kebebasan (liberty). Dengan memahami perbezaan wawasan ketamadunan ini jelaslah bahawa peradaban Barat telah merendahkan nilai manusia dan tidak sama sekali memartabatkan umat manusia seperti yang dilakukan oleh Islam: “The combined forces of atheism, secularism and nihilism seem to be on the ascendancy. It is against this background that the contribution made by Islam fourteen hundred years ago can be seen as representing the manifestation of the Divine Element that somehow will not let man devalue man”.[10]


Kedatangan Islam juga telah menghapuskan mitos daripada kamus pemikiran manusia. Dengan kemunculan Islam di tanah Melayu, penyembahan berhala, kepercayaan kepada animisme dan dinamisme telah terhapuskan dan dunia Melayu mula diterangi oleh cahaya peradaban. Sayangnya kini mitos-mitos kembali bermunculan dengan dictate daripada kuasa besar, dan yang malangnya ramai orang Islam yang menerimanya tanpa usul periksa. Mitos keganasan Islam, mitos teokrasi negara Islam, mitos ketidakadilan hukum Islam, mitos keunggulan peradaban Barat dan yang tidak kurang tragisnya mitos kerendahan bangsa sendiri, diyakini sebagai sesuatu yang semula jadi.

Jalan Keluar: Cabaran Bagi Umat Melayu

Dalam mencari jalan keluar bagi kemunduran umat Islam, khususnya dalam konteks ini umat Melayu, tidak sedikit cendekiawan kita yang melihat bahawa sekularisme dan modenisme Barat merupakan penawarnya. Walhal penyakit umat Melayu berbeza. Kita tidak pernah diperintah oleh kaum agama atau gereja sepertimana berlaku di Barat. Obat yang diberikan oleh para sarjana Barat hanya sesuai bagi Barat yang mengalami kemunduran disebabkan pemerintahan teokrasi. Jadi yang dipersalahkan adalah agama. Adapun yang menyebabkan kita mundur adalah psyche (watak) yang terbentuk akibat daripada pemerintahan feudal dan absolutis sejak zaman kerajaan-kerajaan Melayu-Hindu dan dibiarkan berterusan pada zaman penjajahan. Sampai pada masa kini psyche ini masih berkekalan. Pengalaman panjang ini, iaitu lebih kurang 2000 tahun lamanya, menyebabkan watak bangsa Melayu menjadi pasrah, malas dan rendah diri.[11] Oleh kerananya tidak mudah dihapuskan.

Pembangunan semula tamadun Islam menuntut umat Islam supaya merubah watak mereka, daripada watak yang pasrah, takut dan berjiwa hamba kepada watak yang kritis, bebas dan berani melakukan perubahan. Mana-mana bangsa yang memiliki watak dan jiwa merdeka ini akan mampu mengangkat martabat umat Islam dan membawa mereka ke persada dunia dan mampu bersaing dengan negara-negara Barat dalam segala bidang kemajuan. Jika masyarakat Arab masih lagi dibelenggu dengan sikap-sikap yang negatif seperti tidak berdisiplin, tidak beradab, dan tidak menghormati orang lain, disamping juga belenggu absolutisme politik, maka masyarakat Melayu di Indonesia dan Malaysia juga masih dibelenggu oleh watak pasrah yang telah mereka warisi sejak zaman feudal kesan daripada pengaruh ajaran Hindu yang tertanam dua ribu tahun yang lalu. Malangnya watak pasrah ini tidak cuba untuk dihapuskan mungkin kerana ia kerana ia dilihat baik untuk mengekalkan status quo pemerintahan absolutis dunia Islam pada hari ini.



Misi pembebasan yang dibawa oleh al-Qur’an perlu dihayati semula. Ternyata al-Qur’an juga memberi panduan bagaimana sesuatu bangsa akan hidup dengan lebih bermakna apabila ia menerima peranan yang telah ditentukan oleh Tuhan. Peranan melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar, peranan sebagai sumber kekuasaan (al-ummah masdar al-sulutat), dan peranannya memilih orang yang tepat untuk mengemban amanah pemerintahan (amanat al-hukm) semua ini akan dapat menghapuskan absolutisme dalam apa jua bentuknya. Hanya jika peranan-peranan ini dilakukan dengan baik, maka ancaman wujudnya ‘fir’aun-fir’aun moden’ yang menindas dan memperhambakan kaumnya sendiri akan dapat diatasi.

Sebuah peradaban hanya terbina apabila manusia itu ‘hidup’ seutuhnya. Keruntuhan dan kemunduran sesebuah tamadun hanyalah akibat daripada ‘kematian manusia’ yang berlaku jauh sebelumnya. Kita memerlukan manusia-manusia yang aktif mindanya, hidup jiwanya, berani bertindak dan melakukan perubahan. Kita perlu membebaskan diri daripada minda yang terjajah, hati yang pasrah, jiwa yang lembik yang tidak berani mengatakan tidak kepada yang tidak benar. Muhammad Iqbal melalui puisi-puisinya menyeru agar umat Islam tidak lagi menjadi penonton tetapi mengemban amanah sebagai ejen perubahan:

Mengapa tidak menggelora sungai hatimu?
Dan kenapa peribadimu tidak berpancar Muslim hakiki?
Apa gunanya bermuran durja dan mengeluh takdir Ilahi?
Mengapa tidak kau sendiri menjadi pencipta takdirmu?

Mentaliti hamba adalah halangan besar dalam usaha memajukan suatu bangsa. Adalah suatu yang lumrah suatu bangsa yang terjajah memiliki kepercayaan terhadap diri yang rendah, namun kecenderungan menerima segala sesuatu walaupun buruk sebagai nasib atau takdir yang tidak dapat dirubah adalah sesuatu yang keterlaluan. Pramoedya Ananta Toer, seorang sastrawan Indonesia, mengkritik budaya masyarakat Jawa yang selalu pasrah pada nasib, dan mempunyai kecenderungan untuk mentaati pemimpin mereka secara membabi buta. Kritikan pedasnya ini membangkitkan kemarahan pemerintahan orde baru yang kemudian bertindak memenjarakannya dan membuangnya ke pulau buru setelah memfitnahnya berhaluan kiri.

Kepasrahan dan tawakkal hanya ditujukan kepada Allah dan bukan kepada nasib atau penguasa-penguasa yang menindas. Kepasrahan negatif ini bertentangan dengan kehendak Islam yang mahukan umat Islam berusaha merubah nasib kepada yang lebih baik. Bukankah Allah ingin agar manusia merubah diri sendiri dan tidak berharap agar Tuhan melakukan untuknya (al-Ra‘d:11)? Oleh itu sebelum kemerdekaan benar-benar dapat dikecapi kita perlu terlebih dahulu memiliki jiwa merdeka dan minda merdeka. Untuk merealisasikan hal ini Siddiq Fadzil juga menekankan perlunya pendidikan yang membebaskan anak bangsa dari belenggu minda tawanan (the captive mind) dan pendikan yang bersifat liberatif-transformatif.[12]




Islam membenci sifat penakut dan mementingkan diri seperti yang dilakukan oleh kaum Yahudi ketika diperintahkan untuk berperang mereka berkata: “maka pergilah engkau (nabi Musa) dengan Tuhanmu berperang kami hanya ingin duduk (dan lihat)”(al-Ma’idah:24). Nabi Musa perlu menunggu 40 tahun untuk melahirkan generasi baru yang berani menghadapi cabaran dan mahu berkorban.[13] Satu langkah yang sebenarnya akan mengembalikan maruah mereka sebagai manusia mulia. Lebih 400 tahun penjajahan dan 50 tahun kemerdekaan adalah jangka masa yang cukup lama untuk menyedarkan kembali umat Islam perlunya satu kebangkitan tamadun Islam.

Kaum ilmuwan pada hari ini mengemban misi para nabi, untuk menyelamatkan kaumnya daripada kegelapan dan keterpurukan. Jika mereka lebih selesa membisu dan mengejar pangkat, mereka akan dipertanggungjawabkan dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.[14] Misi pencerahan ini tidak mungkin dapat mereka lakukan jika mereka sendiri keliru dan tidak tercerahkan. Untuk memastikan kita tahu siapa ilmuwan sebenar dan ilmuwan palsu maka autoriti ilmu perlu ditegakkan dan adab terhadap ilmuwan mesti dikekalkan. Bukankah al-Qur’an mengatakan: “Maka Adakah orang yang mengetahui (Bahawa Al-Quran Yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (Wahai Muhammad) perkara yang benar), sama Dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna (ulul al-bab)” (al-Ra‘d: 19). Oleh kerana itu, al-Attas menekankan perlunya adab diberikan perhatian dalam menuntut ilmu dan punca kekeliruan baginya adalah hilangnya adab (the loss of adab) di kalangan ilmuwan sendiri, dan hilangnya rasa hormat terhadap kaum ilmuwan.[15]

Umat Islam tidak sepatutnya merasa selesa dengan menjadi umat terbaik yang diciptakan Allah (lihat Ali ‘Imran ayat 110). Ia adalah satu potensi yang mesti dijelmakan. Satu tanggungjawab yang perlu disempurnakan. Kaum Bani Israil pada awalnya juga merupakan umat yang banyak diberikan kelebihan namun ia tidak menghalang bencana dan hukuman Tuhan terhadap mereka. Rata-rata umat Islam memiliki sumber manusia dan sumber alam yang lebih baik daripada bangsa lain. Namun kelebihan ini tidak bererti apa-apa jika kita bergantung pada orang lain. Keselesaan yang palsu menyebabkan umat Islam tidak sadar bahawa bahaya dan ancaman yang berada di sekeliling mereka dapat memperhambakan dan menghancurkan mereka.

Umat Islam perlu yakin terhadap Islam kerana ia adalah kurnia terbesar Allah berikan kepada manusia. Hakikatnya adalah Islam merupakan identiti utama umat Islam yang perlu dibanggakan dan bukan disembunyikan. Sikap percaya diri sangat penting sebelum sesebuah bangsa atau umat dapat bangkit dan bersaing dengan yang lain. Kita perlu tegas terhadap golongan yang mempersoalkan kerelevanan Islam dan mempertikaikan ajaran Islam untuk menyambung lidah para orientalis yang didorong rasa kebencian terhadap Islam. Golongan liberal ini lebih berbahaya kerana ibarat musuh dalam selimut atau parasit yang merosakkan Islam dari dalam tubuh umat Islam sendiri.[16] Banyaknya kajian-kajian yang membuktikan keunggulan dan keutuhan Islam sudah cukup untuk memberi keyakinan kepada umat Islam melangkah ke hadapan bersama Islam dan bukan dengan falsafah-falsafah Barat yang mengelirukan.

Kesimpulannya umat Islam perlu ‘hidup’ semula untuk benar-benar bangkit. Perlu hidup dan aktif seutuhnya: mindanya, jiwanya dan jasadnya. Hal ini sejalan dengan pemikiran dan falsafah Muhammad Iqbal yang menekankan perlunya khudi atau ego ini hidup, aktif dan tumbuh untuk mendapat kuasa dan melakukan perubahan. Kehidupan manusia seutuhnya menjadi agenda utama Islam, yang mengandungi misi-misi pembebasan, perubahan dan pentamadunan. Islam menuntut agar setiap individu melakukan fikir dan zikir sekaligus, zikir tanpa fikir hanya akan membawa kepada kejumudan dan kemunduran. Adapun fikir tanpa zikir akan membawa kepada kekeliruan dan kesesatan.

Tidak ada bangsa yang semula jadi ditakdirkan menjadi bangsa yang lemah, malas, atau hina. Watak pasrah, malas, takut dan berjiwa hamba adalah akibat daripada absolutisme dan penindasan (al-istibdad). Di alam Melayu, absolutisme tercermin dalam sistem feudal yang telah mengakar dalam sejarah Melayu dan berlanjutan pada hari ini yang berlainan dari segi bentuknya sahaja. Dalam tamadun Islam yang berdaulat adalah ilmu bukan kuasa (absolutisme) bukan hiburan (hedonisme) dan bukan kebendaan (materialisme). Oleh kerananya untuk memajukan orang Melayu budaya ilmu perlu disuburkan sedangkan absolutisme, hedonisme dan materialisme perlu dihapuskan daripada kamus kehidupan mereka.

Satu projek pencerahan dan pemerkasaan minda dan jiwa umat Islam perlu dilakukan secara besar-besaran. Tanpa kekuatan pemikiran dan kekuatan dalaman kebangkitan tamadun Islam hanyalah angan-angan. Merubah nasib ataupun dunia tidak semudah ‘bermimpi’ dan tidak juga semudah ‘meletupkan diri’. Bermula dengan ilmu dan diikuti dengan amal, semua pihak perlu sadar akan tanggungjawab masing-masing: tanggungjawab ilmuwan yang tercerahkan (enlightened scholars) untuk menyedarkan dan membimbing masyarakat; tanggungjawab masyarakat untuk mengikuti dan mendukung; dan tanggungjawab pemerintah untuk mendengar dan melaksanakan.

*Penulis merupakan pensyarah Kolej Dar al-Hikmah dan Felo Penyelidik di Akademi Kajian Ketamadunan.

Rujukan

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Islam and Secularism. Kuala Lumpur: ABIM, cetakan semula ISTAC, 1993.

________, Risalah Untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: ISTAC, 2001.


Al- Faruqi, Isma‘il Raji, al-Tawhid: Its Implications for Thought and Life. Herndon: IIIT.

Bennabi, Malik, The Problem of Ideas in the Muslim World. Terjemahan bahasa Inggris oleh: Mohamed Tahir El-Mesawi. Kuala Lumpur: ABIM, 1994.


________, Shurut al-Nahdah. Terjemahan Bahasa Arab oleh: Umar Masqawi dan ‘Abd al-Sabur Shahin. Beirut: Dar al-Fikr, 2000.


Berger, Peter L, ed. The Desecularization of the World. Washington, DC.: Ethics and Public Polity Center, 1999.


Briffault, Robert, The Making of Humanity, London: George Unwine and Allen, 1928.


Hofmann, Murad Wilfried, Religion on the Rise: Islam in the Third Millennium. Beltsville: Amana Publications, 2001.


Ibn Khaldun, ’Abd al-Rahman, al-Muqaddimah. Beirut: Dar al-Fikr, 2004.


Iqbal, Muhammad, Reconstruction of Religious Thought in Islam. Lahore: Muhammad Ashraf, 1965.

Khalif Muammar, Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, 2006.

Siddiq Fadzil, Minda Melayu Baru. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar, 1997.

________, Kaum Ilmuwan dan Misi Pencerahan. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, 2006.

________, “Krisis Kependidikan Masa Kini: Cabaran Membina Generasi Berjiwa Merdeka” dalam MADANIYAT, Akademi Kajian Ketamadunan, 4:2 (2006).



[1] Mulyadhi Kartanegara, Menembus Batas Waktu: Panorama Filsafat Islam (Bandung: Mizan, 2002), 109.

[2] Muhammad Iqbal, Reconstruction of Religious Thought in Islam (Lahore: Muhammad Ashraf, 1965), 126.

[3] R. Briffault, The Making of Humanity (London: George Unwin and Allen, 1928), 191.

[4] Lihat al-Qur’an 26:11; 20:24; 28:4; 43:51. Dalam ayat-ayat ini Fir’aun digambarkan dengan sifat angkuh, kejam, kuku besi, autoritarian dsb.

[5] Ibn Khaldun, al-Muqaddimah (Beirut: Dar al-Fikr, 2004),170.

[6] Franz Rosenthal, Keagungan Ilmu, terjemahan oleh Syed Muhammad Dawilah Syed Abdullah, cet. ke-3 (Kuala Lumpur: DBP, 1997)

[7] Ungkapan ini diperkenalkan oleh Francis Bacon pada zaman Renaissance (kebangkitan) yang terpengaruh dengan saintis-saintis Muslim ketika itu. Lihat F. Budi Hardiman, Filsafat Moden: Dari Machiavelli sampai Nietzsche (Jakarta: Gramedia Pustaka Utama, 2004), 25.

[8] Siddiq Fadzil, “Krisis Kependidikan Masa Kini: Cabaran Membina Generasi Berjiwa Merdeka” dalam MADANIYAT, Akademi Kajian Ketamadunan, 4:2 (2006), 2.
[9] Seperti dikutip oleh I.K. Brohi “The Nature of Islamic Law and the Concept of Human Rights” dalam Human Rights in Islam, (Kuweit: 1977), 55.

[10] Ibid.,50.

[11] Penulis berterimakasih kepada Haji Ahmad Mohamad Said kerana setelah berdiskusi dengan beliau mengenai psikik orang Melayu ini maka penulis dapat memberikan kesimpulan seperti di atas. Lihat Ahmad Mohamad Said, “Memahami Psyche Melayu”, Kertas kerja dibentangkan pada Forum Pengkaji Pemikiran dan Tamadun, anjuran Akademi Kajian Ketamadunan pada 25 Januari 2007.

[12] Siddiq Fadzil, Opcit, 1.

[13] Ibn Khaldun mengatakan bahawa generasi baru ini semestinya generasi yang berani kerana mereka tidak mengalami kehinaan yang dialami oleh generasi sebelumnya, lihat al-Muqaddimah, 171.

[14] Siddiq Fadzil, Kaum Ilmuwan dan Misi Pencerahan (Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, 2006), 8-24.

[15] S.M.N. al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin (Kuala Lumpur: ISTAC, 2001), 137.

[16] Untuk penjelasan kritis mengenai pemikiran Islam Liberal sila lihat buku penulis: Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal (Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, 2006).

Thursday, February 11, 2010

Pandangan Yusuf al-Qaradawi Mengenai Panduan Kebangkitan Islam dan Ciri-Ciri Pendakwah


Bab ini membicarakan panduan kebangkitan Islam. Menurut al-Qaradawi kebangkitan Islam perlu mempunyai kematangan dan anjakan paradigma ke arah yang lebih baik. Di samping itu, beliau juga menggariskan ciri-ciri pendakwah.

Kebangkitan Islam yang Diinginkan

Sejak bermulanya semarak kebangkitan Islam pada awal 70-an dan 80-an, al-Qaradawi sentiasa memberi bimbingan kepada generasi muda Islam mengenai kebangkitan Islam dengan memberi pandangan dan ijtihad gerakan.

Beliau juga melibatkan diri dalam proses ekonomi Islam dengan menjadi ahli penasihat kepada Bank Faisal dan institusi-institusi kewangan lain. Beliau menjelaskan antara penyakit umat Islam yang berlawanan dengan sifat fitrah manusia ialah al-Ghalu (fanatik) kerana perjalanannya tidak akan panjang serta mengabaikan hak-hak orang lain.

Al-Qaradawi mengakui bahawa beliau sentiasa mengambil berat tentang masalah kebangkitan Islam yang telah menjadi isu utama dalam penulisannya lantaran kepentingan masa kini serta masa depan umat Islam.

Keperluan ini amat mendesak untuk memastkan kebangkitan ini tidak melemahkan dan tidak melencong dan tidak menyimpang. Kebangkitan ini tidak seharusnya tergendala di tengah jalan. Oleh itu, beliau menggariskan sepuluh langkah menuju kematangan kebangkitan Islam atau membimbing kebangkitan Islam dari zaman kekeliruan kepada pencerahan. Sepuluh langkah yang diutarakannya ialah :

1. Dari format dan simbol kepada hakikat dan “sabstance”

Ada di antara manusia yang memerhatikan aspek luaran yang bersifat formaliti daripada isi kandungan, hanya mementingkan bentuk bukan pada hakikat. Seolah-olah yang penting adalah memanjangkan janggut, memendekkan pakaian, membawa siwak, mengharamkan semua jenis lagu dan mewajibkan pemakaian purdah untuk wanita.

Oleh itu, umat Islam perlu mencurahkan perhatiannya kepada substansi dan roh ajaran Islam daripada format dan bentuk. Islam sebagai akidah substansinya adalah tauhid, sebagai ibadat substansinya adalah keikhlasan, sebagai tuntutan moral substansinya adalah kasih sayang, sebagai syariat substansinya adalah keadilan, sebagai peradaban substansinya adalah keseimbangan.

Maka sesiapapun yang menghilangkan unsur-unsur substansi tersebut turut menghilangkan substansi Islam walaupun ia berpegang kuat kepada simbol dan bentuk tersebut. Al-Qaradawi membawa contoh golongan yang suka kepada pengetahuan teori semata-mata, terlalu banyak bergelut dengan hal yang mengundang perbezaan daripada yang menjadi kesepakatan dalam topik keimanan kepada Allah.

Seolah-olah yang harus dilakukan oleh seseorang manusia agar memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat ialah bagaimana ia menghafal pelbagai istilah dan teori tersebut.Oleh itu, beliau menyeru supaya hanya ibadat hati yang perlu didambakan. Mereka perlu mencurahkan usaha untuk meraih hal itu dengan cara beriman, bertawakal dan mengharap rahmat-Nya.

Menurutnya, banyak pendakwah Islam melupakan aspek ini yang merupakan substansi agama serta bahagian terpenting daripada keimanan.Mereka lebih mementingkan perbuatan kasar yang dilakukan oleh tubuh badan.Hal semacam itu memang penting tetapi ia tidak bermakna apabila tidak disertai dengan perbuatan hati. Padahal perbuatan hati ini merupakan asas mendapat kebahagian di dunia dan akhirat.

2. Dari retorika dan perdebatan menuju penerapan dan tindakan

Di antara sikap negative yang perlu dihindari ialah bangga dengan sejarah lampau tanpa mengubahnya dalam bentuk tindakan demi memperbaiki keadaan masa kini dan mengembangkannya ke arah yang lebih baik. Membicarakan sejarah masa lalu adalah baik selagi ia mendorong untuk terus memacu kejayaan itu. Kita harus mencipta kejayaan dan tidak harus hanya berbangga dengan sejarahnya sahaja.

Termasuk dalam sikap ini juga ialah tenggelam dalam kenangan pahit lalu tidak melakukan usaha positif untuk mengatasinya atau mengatasi kemungkinan berulangnya tragedi yang sama, membicarakan kesalahan orang lain, perdebatan yang tidak sihat dalam persoalan yang tidak memberi apa-apa faedah selain kesombongan diri dan membuang waktu. Oleh itu, umat Islam perlu berusaha untuk melakukan amalan yang lebih baik dan memiliki matlamat dan tujuan yang jelas.

Orang Islam tidak pernah hidup tanpa tujuan serta tidak melakukan sesuatu secara melulu. Kita harus menentukan jalan untuk menuju matlamat tersebut sesuai dengan keadaan dan kemampuan yang kita miliki. Al-Qardawi mengkritik golongan yang mencurahkan perhatian utama kepada bidang politik semata-mata dengan melupakan bidang pemikiran, pendidikan dan sosial.

Begitu juga golongan yang hidup di menara gading di dalam dunia teori yang idealistik dan tidak pernah turun ke medan masyarakat untuk bertindak. Begitu juga anggapan tentang satu-satunya perbuatan yang terbaik adalah bidang ketenteraan melawan musuh.

3. Dari sikap sentimental dan emosional menuju sikap rasional dan ilmiah.

Seorang muslim pasti dapat mengawal perasaan dan meletakkan akal pada tempatnya. Ia berfikir secara rasional dan ilmiah,ia tidak bersikap ekstrem dalam mencintai dan membenci, tenggelam dalam dunia khayalan dan kecenderungan untuk bergantung kepada niat semata-mata tanpa berusaha untuk memerhatikan perkara yang benar.

Manifestasi sikap emosional ini juga adalah sikap melupakan sunnatullah yang berlaku ke atas alam dan kehidupan manusia, berlebih-lebihan dalam menggambarkan sesuatu baik yang bersifat material ataupun kerohanian.Oleh itu, gerakan Islam perlu bangun dalam tradisi ilmiah dan perencanaan masa depan. Gerakan Islam perlu membebaskan diri daripada kecenderungan emosional dan apologetik kepada rasional, objektif dalam menilai sesuatu aktiviti, memahami realiti dan sejarah dalam menentukan sesuatu keputusan.

Antara ciri-ciri ilmiah ialah melihat segala sesuatu kejadian dan perkataan secara objektif tanpa terpengaruh dengan identiti pelakunya, menghormati kepakaran seseorang dalam bidangnya, mampu melakukan muhasabah diri dan mengakui kesalahan yang terlanjur serta berusaha mengambil pengajaran daripadanya dan menghormati adab perbezaan pendapat.

OIeh itu, beliau menyeru agar semangat ilmiah terus subur dalam gerakan Islam dan menjadikan pola berfikir berdasarkan ilmu aspek yang dominan dalam semua aspek kehidupan mereka. Pandangan ilmiah dijadikan sebagai ukuran penentu dalam mengeluarkan pandangan dan keputusan gerakan. Orang yang beriman hidup dalam keadaan keyakinan, menolak perasaan sangkaan dan mengikut taklid buta atau sikap gaya jumud.

4. Dari orientasi masalah cabang dan remeh menuju masalah pokok dan utama
Menurut al-Qaradawi perkara utama gerakan Islam kini ialah bidang pemikiran dan kebudayaan, bidang pendidikan dan kaderisasi. Pada hematnya, ramai aktivis gerakan Islam menyibukkan diri dalam perkara-perkara sunat dan larangan yang bersifat makruh sehinggakan tidak ramai yang menitikberatkan perintah yang bersifat fardu atau larangan-larangan yang bersifat haram.

Orang Islam perlu memperuntukkan fikiran dan waktu untuk melaksanakan perkara-perkara yang wajib dahulu, barulah amalan sunat. Dalam ketentuan wajibpun, ia harus memilih antara yang paling wajib, wajib sahaja dan seterusnya. Antara kesilapannya ialah bersikap keras dalam masalah sunat sehingga menganggapnya sebagai wajib serta mengutamakan ibadat sunat daripada ibadat fardu. Gerakan Islam perlu keluar dari lingkungan persoalan khilafiyah yang mengandungi potensi polemik kepada persoalan-persoalan yang disepakati bersama sehingga boleh merumuskannya menjadi agenda yang besar.

Perkara yang merosakkan iklim kebangkitan Islam adalah adanya golongan yang cenderung memberi perhatian kepada persoalan-persoalan yang tidak disepakati oleh para ulamak dalam masalah penghalalan atau pengharaman. Mereka menjadikan persoalan khilafiah ini sebagai ukuran dan penilaian terhadap tindak tanduk sesama manusia. Seolah-olah perkara khilafiah ini merupakan pokok keimanan dan landasan utama ibadat seperti hukum memanjang atau memendekkan janggut, memendek atau memanjangkan pakaian, posisi tangan ketika solat, hukum lukisan dan fotografi dan status hukum memakai hijab dengan menutup wajah wanita.

Menurut al-Qaradawi perkara ini berlaku disebabkan mereka menganggap pendapat yang mereka pegang dalam masalah khilafiah sebagai kebenaran yang tidak mungkin salah, kurang memperhatikan persoalan-persoalan agama yang telah disepakati, suka berdebat dan menyakiti orang lain sehingga memecah-belah umat, takabbur dan bangga pada diri sendiri yang merupakan titik tolak kepada kehancuran diri.


5. Dari menyulitkan dan ancaman menuju kemudahan dan khabar gembira
Islam merupakan agama rahmat kepada manusia dan alam ini. Rasulullah memerintahkan untuk memudahkan sesuatu perkara dan tidak menyulitkan. Pengertian mudah di sini bererti mengikuti manhaj yang memberi keluasan dan toleransi, keringanan yang jauh daripada tindakan menyulitkan, sukar dan berat. Sementara 'mempersulit' adalah manhaj yang menimbulkan kesulitan, kesempitan dan kesukaran terhadap manusia.

Allah menjadikan fitrah manusia untuk menyukai kemudahan dan keluasan. Dalam syariat Islam, hukum-hukum dilandaskan atas kemudahan,bukan atas kesulitan. Al-Qaradawi membawa dalil al-Quran bagi menyokong hujahnya seperti ayat al-Baqarah, ayat 185, al-Ma'idah ayat 6, al-Anfat, ayat 66. Namun, seruan kepada kemudahan bukanlah bermakna menghalalkan semua yang diharamkan berdasarkan dalil yang pasti seperti riba, minum arak, perjudian dan sebagainya. Semua yang tercantum dalam nas yang jelas tidak boleh diganggu-gugat lagi. Menurut al-Qaradawi, sikap keras bukan pada tempatnya sangat merugikan Islam kerana menimbulkan kerosakan dan menghilangkan banyak kemaslahatan.

Beliau menyeru kepada para aktivis Islam membicarakan tanda-tanda kemenangan Islam dan kecerahan masa depannya. Tidak ada tempat untuk kita menghiburkan diri dengan cerita-cerita malapetaka hari kiamat, mengatakan dunia Islam seburuk-buruknya dan masa depan Islam selalunya lebih buruk dari masa lalu, keimanan akan punah dan kezaliman akan bermahajalela.Keadaan seperti ini akan menyebabkan umat Islam berputus asa dan berasa tidak mampu untuk melakukan perubahan, meluruskan yang bengkok dan merubah keadaan ke arah yang lebih baik.

Oleh Dr Rumaizuddin
Pensyarah Kanan di USIM
Mantan Timb Presiden ABIM Pusat

http://www.mindamadani.my/

Saturday, January 30, 2010

ISU PENGGUNAAN KALIMAH “ALLAH” : DIALOG PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGO) BERSAMA PRESIDEN PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

Isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian di Malaysia kini telah menjadi satu topik hangat yang mengundang pelbagai reaksi masyarakat Islam dalam negara kita. Selain dari wacana ilmiah yang dianjurkan oleh pelbagai pihak dalam merungkai persoalan ini, beberapa rentetan peristiwa yang menggusarkan keharmonian masyarakat juga telah berlaku.

Dalam masa yang sama, PAS beranggapan bahawa kewujudan pelbagai NGO Islam dalam negara kita ini adalah merupakan suatu petanda yang sangat positif, terutamanya dalam usaha untuk memainkan peranan bagi meninggikan syiar Islam yang sememangnya menjadi tanggungjawab semua pihak.

Sehubungan dengan itu, satu majlis dialog di antara Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan pimpinan NGO Islam akan diadakan mengikut butiran berikut :

Tarikh : Ahad, 31 Januari 2010

Tempat : Tingkat 5, Pejabat PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

Masa : 9.15 malam

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pn Aniza Wahid di 03-26925000 (Pejabat). Pihak PAS ingin mengucapkan jutaan terimakasih di atas kesudian pihak tuan untuk hadir dalam majlis dialog ini.

Sekian. Terima kasih.

Yang Menjalankan Amanah,

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR

Setiausaha Politik Presiden PAS

http://presiden.pas.org.my/

Nik Aziz bimbang perkataan Allah disalahguna

KOTA BHARU, 3 Jan: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kebimbangan penggunaan perkataan Allah disalahgunakan biarpun tidak salah untuk diguna kesemua agama samawi.

Menteri Besar Kelantan itu melahirkan rasa bimbang kalimah Allah kemungkinan disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, biar pun penggunaan kalimah Allah mengikut hukum bagi pengamal agama Samawi, ia tidak menjadi satu kesalahan.

“Namun saya takut ia disalahgunakan, itu yang menjadi kebimbangan sebenarnya,” katanya selepas majlis perasmian pejabat Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan di Jalan Telipot, hari ini,

Khamis lalu Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh penerbitan akhbar mingguan Herald – The Catolic weekly.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya memberitahu Herald mempunyai hak pada sisi perlembagaan untuk menggunakan perkataan tersebut.

Ekoran keputusan itu menyebabkan timbul bantahan di kalangan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Baharom pula dilaporkan akan merayu keputusan kes terbabit ke Mahkamah Rayuan bagi memastikan kesucian agama Islam kekal terpelihara.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berharap pihak berwajib seperti persatuan ulama menganjurkan dialog bersama pemimpin agama Kristian bagi mencari penyelesaian isu tersebut.

“Melalui perbincangan terbabit diharap dapat meredakan kekeliruan masyarakat. Selain itu falsafah Islam dapat dikembangkan melalui majlis-majlis seumpama itu,” katanya.

Beliau juga tidak menolak hadir pada majlis seumpama itu sekiranya ada jemputan bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai Islam.

Justify Fullhttp://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=23979:nik-aziz-bimbang-perkataan-allah-disalahguna&catid=1:utama&Itemid=50

Friday, January 29, 2010

Presiden PAS : Penggunaan Kalimah Allah

Penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja Katholik menggunapakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam. Justify Full

Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al-Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al-Quran.

Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Apa yang perlu difahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab? Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini? Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat Islam di serata dunia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (Surah az-Zumar: 38)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui". (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (Surah az-Zukhruf: 87)

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).

Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu "berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An'am: 108)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Wallahua’alam.

7 Januari 2010

http://presiden.pas.org.my/

Tuesday, December 29, 2009

KEPUTUSAN KES KALIMAH ALLAH DALAM HERALD

KEPUTUSAN KES KALIMAH ALLAH DALAM HERALD
30 DISEMBER 2009 (RABU)
9.00 PAGI DI MAHKAMAH TINGGI JALAN DUTA


Ke Kes berkenaan tuntutan pihak Kristian terhadap kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak 'Herald Catholic Weekly'.

Sekiranya tuntutan ini dipenuhi kita akan melihat di dalam penerbitan Bible Kristian ayat-ayat berbunyi seperti berikut:-

a) “Engkau adalah Messias anak Allah yang hidup." ( Matius 16 : 16)

b) “..Kerana ia telah berkata :Aku adalah anak Allah.” ( Matius 27 : 43)

c) “ Kasih kurnia menyertai kamu dan damai sejahtera dari Allah, bapa

kita dan dari Tuhan Yesus ( Jesus) Kristus." (Galatia 1 : 3 )

Maka, ia akan menimbulkan banyak kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang akhirnya akan membawa kepada gejala murtad seperti mana yang berlaku di Indonesia menerusi terjemahan al-Kitab dan sebagainya.

Terjemahan al-Kitab juga akan bebas untuk diedarkan kepada umum memandangkan Kalimah Allah sudah tidak menjadi hak eksklusif dan keistimewaan umat Islam semata-mata seperti yang diputuskan Kabinet pada 16 Mei 1986 yang melarang agama lain menggunakan kalimah Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah.



“Ayuh bersama bermunajat mendoakan agar tuntutan ini tidak dibenarkan”

Wednesday, July 8, 2009

PPSMI dimansuhkan mulai 2012

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, susulan keputusan mingguan jemaah menteri pagi ini, dibuat jam 2.30 di kementeriannya di Putrajaya.


Di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Selain memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang mengepalai demonstrasi besar itu, tokoh sastera Datuk A Samad Said juga menyertai sekumpulan lima Sasterawan Negara membantah dasar itu - mencipta rekod bantahan golongan budayawan Melayu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

19 Julai 2002 - mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara"

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansukan sepenuhnya pada 2012.

http://www.malaysiakini.com/news/108063

GMP: Pemansuhan PPSMI satu kejayaan rakyat

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMI), Datuk Hassan Ahmad menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012 sebagai satu kejayaan rakyat.

"Rakyat seluruhnya tentu lega dan gembira, kerana pengajarannya di sekolah kebangsaan Cina dan India juga turut dikembalikan kepada bahasa ibunda masing-masing," katanya.

GMI merupakan gabungan badan-badan bahasa, NGO dan parti-parti politik yang ditubuhkan untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan PPSMI.

Isu PPSMI juga turut dibangkit dalam kempen beberapa pilihanraya kecil yang diadakan sebelum ini.

Hassan mengucapkan syabas kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin, yang menteri pelajaran, kerana "berani membuat keputusan yang benar" demi kebaikan masa depan rakyat.

Katanya, PPSMI merupakan satu dasar yang salah dan menyusahkan rakyat serta membazirkan wang untuk kembali kepada dasar asalnya.

"Walaupun pelaksanaan sepenuhnya hingga 2012, tetapi bagi saya ia melibatkan operasi, bukan soal dasar PPSMI," katanya ketika diminta mengulas pengumuman Muhyiddin Yassin mengenai pemansuhan PPSMI hari ini.

Hassan berkata, GMP memberi sokongan penuh kepada beliau sehingga proses seterusnya sehingga 2012.

Berikutan itu, katanya, GMP akan bermesyuarat esok atau lusa sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pemansuhan PPSMI itu.

Daulat bahasa Melayu

Ditanya sama ada pemansuhan itu lebih baik dilaksanakan secara serta merta, Hassan berkata:

"Tak usahlah, tak payah begitu. Kita dah enam, tujuh tahun (dalam dasar itu), sekarang sudah kembali sepenuhnya seperti dahulu.

"Apa yang kerajaan perlu buat, ialah tumpu perhatian dengan meningkatkan kaedah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukan bahasa pertama.

"Supaya anak-anak semua kaum mahir bahasa inggeris sebagai bahasa kedua," tambahnya.

Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut menyambut keputusan kerajaan itu.

"Keputusan itu merupakan satu interpretasi komitmen kerajaan untuk mempertahan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Ia juga cerminan sikap kerajaan yang bersedia untuk mendengar dan mengambil pertimbangan sewajarnya terhadap suara rakyat," kata satu kenyataan PKPIM.

PKPIM juga berpendapat bahawa keputusan tersebut merupakan keputusan yang bijak serta bertepatan dengan usaha untuk mengukuhkan perpaduan nasional melalui bahasa kebangsaan.

http://www.malaysiakini.com/news/108092

Mungkinkah PPSMI dimansuhkan?

Tinggal lagi satu jam sebelum seluruh negara dapat menjawab teka-teki sama ada kerajaan akan memansuhkan atau meneruskan dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ura-ura sejak beberapa hari lalu menunjukkan bahasa Melayu akan kembali dijadikan pengantar dua subjek tersebut.


Bagaimanapun belum pasti sama ada PPSMI akan dimansuhkan di peringkat rendah atau menengah sahaja atau kedua-duanya.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mengumumkan keputusan jemaah menteri, yang bermesyuarat mingguan pagi ini, jam 2.30 di kementeriannya di Putrajaya.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Selain memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang mengepalai demonstrasi besar itu, tokoh sastera Datuk A Samad Said juga menyertai sekumpulan lima Sasterawan Negara membantah dasar itu - mencipta rekod bantahan golongan budayawan Melayu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

19 Julai 2002 - mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara"

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan PPSMI ...

http://www.malaysiakini.com/news/108063

Monday, June 29, 2009

MB Johor : Laksana PPSMI 'tidak beretika'

Tidak wajar sesuatu dasar pendidikan negara – seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) – diputuskan berasaskan emosi dan persepsi, tanpa kajian dan perancangan rapi, kata menteri besar Johor.


"Adalah salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya," kata Datuk Abdul Ghani Othman.

"Tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang membentuk dasar pendidikannya secara mendadak, tanpa memikirkan kepentingan murid dan kesediaan guru, melainkan Malaysia."

Abdul Ghani, juga pengerusi Permuafakan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), mengulas dasar kontroversi tersebut sewaktu merasmikan kolokium mengenai PPSMI anjuran NGO itu di Shah Alam pagi tadi.

Ucapan ringkasnya itu dibacakan oleh Pengerusi Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin.

Turut hadir, Prof Diraja Ungku Aziz dan seniman Datuk Jins Samsudin.

Abdul Ghani juga berkata, Pembina berpendirian bahawa sebarang perubahan dasar pendidikan mestilah dibuat berdasarkan perancangan rapi, tidak secara tiba-tiba, serta berlandaskan fakta dan data yang sah.

Tambahnya, kajian badan tersebut – yang disokong ahli akademik dari tujuh universiti awam – mendapati PPSMI menyebabkan berlakunya "kepupusan generasi akibat bertambah ramai murid gagal (dalam matapelajaran) Sains dan Matematik" di pelbagai peringkat.

Sementara Ungku Aziz dalam ucapannya selepas itu menyifatkan masalah dalam sistem pendidikan berlaku disebabkan terlalu banyak kompromi pemimpin politik.

"Banyak pemimpin politik luar dan dalam kabinet tentu hendak mencari kompromi. Orang politik suka berkompromi. Bila banyak komporomi, dia tidak boleh berpikir dengan rasional.

"Tambahan lagi, orang politik hendak cepat. Bagi saya, jalan singkat tidak ada," katanya yang kerap bercerita dan berjenaka dalam ucapannya.

Ungku Aziz menegaskan, tindakan kerajaan memperkenalkan PPSMI enam tahun lalu sebagai "tindakan gila" kerana Matematik menggunakan "bahasa simbol" – melalui angka, nombor dan penggunaan rumus tertentu.

"Apa bahasa matematik? Bahasa simbolik, angka, semua simbol. Matematik ini bahasa simbolik. Kalau guna bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, pilih bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, (itu tindakan) gila.

"Kalau hendak belajar bahasa Inggeris dengan bahasa matematik, bagaimana boleh belajar?" katanya di hadapan 150 pendidik sekitar Selangor.

Selain menyokong saranan Pembina supaya PPSMI dimansuhkan di semua peringkat, Ungku Aziz mencadangkan masa pengajaran bahasa diajar secara tetap tiga hingga empat jam seminggu, selain menggunakan kaedah pembelajaran terkini.

"Masa untuk belajar bahasa tidak cukup. Itu kunci kepada semua sekali, perkara pokok sekali. Dalam sistem pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti, masa untuk belajar bahasa itu diberi sedikit sahaja.

"Pendekatannya pun salah. Banyak orang (pemegang) PhD bawa teori lapuk sepuluh tahun lalu. Dia lupa, apa dia belajar dulu orang lain sudah tukar (hari ini)," katanya.

Pembina pertama kali mengedarkan dan membentangkan kajian PPSMI mereka kepada umum hari ini. Dokumen itu pernah diedarkan kepada peserta Kongres Melayu ke-2 penghujung Mac lalu di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

Selain laporan itu setebal 200 halaman, dua lagi kajian berhubung pelaksanaan dasar kontroversi itu yang dihasilkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) turut dibentangkan.

http://malaysiakini.com/news/107357

Wednesday, June 24, 2009

PPSMI siap minggu depan?

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Jun – Setelah hampir enam tahun dilaksanakan, nasib dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang banyak menimbulkan kontroversi akan dapat diketahui dalam waktu terdekat ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan mengenai PPSMI akan diumumkan awal bulan depan selepas analisis pelaksanaan dasar tersebut dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat ini.


Katanya, analisis menyeluruh dan kertas mengenai hala tuju PPSMI sudah siap dan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.

‘‘Saya memberi jaminan bahawa keputusan yang akan diambil oleh kerajaan berhubung dasar PPSMI akan memberi kebaikan kepada murid, guru dan masa depan negara,” katanya yang juga Menteri Pelajaran ketika menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga memikirkan implikasi terhadap kohort murid yang terlibat dalam pelaksanaan dasar itu sejak 2003 hingga sekarang iaitu kelompok murid yang dapat mengikuti dengan baik dan kelompok murid yang sebaliknya.

‘‘Oleh sebab itu sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita mengambil sedikit masa untuk menilai implikasi dasar tersebut daripada pelbagai sudut dan memikirkan cara-cara untuk menambah baik sistem pendidikan negara secara komprehensif,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, kerajaan komited memastikan kecemerlangan murid dalam subjek Sains dan Matematik seiring dengan peningkatan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan komunikasi antarabangsa.

Pada masa yang sama juga katanya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan perpaduan di kalangan rakyat akan terus dimartabatkan.

‘‘Sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan, kerajaan akan memastikan komponen bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran akan dipertingkatkan. Kerajaan akan mengambil kira kedua-dua pertimbangan ini dalam membuat keputusan mengenai dasar PPSMI,” katanya.

PPSMI mendapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk bukan Melayu yang bimbang dengan pencapaian pelajar dalam subjek berkenaan khususnya di kalangan pelajar luar bandar.

Malah pejuang bahasa kebangsaan juga melihat PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan apabila bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.

Kemuncak terhadap bantahan itu apabila Gerakan Menentang PPSMI (GMP) mengadakan perhimpunan membabitkan kira-kria 5,000 orang yang kemudiannya berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menuntut pemansuhan dasar tersebut.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kementerian memfokuskan kepada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru dan murid dengan menambah baik latihan guru serta meningkatkan mutu pengajaran serta pembelajaran subjek itu di sekolah.

‘‘Antara langkah yang diambil ialah masa pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah ditambah untuk membolehkan kandungan pengajaran dan pembelajarannya ditambah,” ujarnya.

Menurutnya, langkah itu penting kerana penguasaan bahasa Inggeris yang baik di kalangan murid dan guru merupakan pra syarat utama kepada kejayaan dasar seperti PPSMI.

Tambahnya, kajian kementerian dan pasukan penyelidik bebas daripada institusi pengajian tinggi (IPT) mendapati tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid dan guru secara keseluruhannya berada pada tahap sederhana.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) mengenai PPSMI yang tidak membantu peningkatan terutama di kalangan murid-murid luar bandar, Muhyiddin berkata, semua guru bahasa Inggeris yang dihantar ke luar bandar telah diberikan insentif dalam bentuk elaun.

Mengenai faktor keengganan segelintir guru mengajar di kawasan luar bandar, beliau menjelaskan, ia disebabkan oleh ketiadaan tempat tinggal yang selesa untuk mereka.

Tuesday, May 5, 2009

Lambat lagi putuskan PPSMI

Timbalan perdana menteri belum berpuas hati dengan kajian dan perbincangan meja bulat mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga menteri pelajaran, berkata kerajaan bersedia untuk memberi masa lebih panjang kerana apa jua keputusan terhadap isu berkenaan adalah kritikal, lapor Bernama.


"Kami tidak mahu dilihat sebagai tidak konsisten (flip-flop) dalam perkara ini. Kami perlu melihat lebih banyak maklum balas.

"Tetapi melihat kepada kajian-kajian yang dilakukan oleh beberapa badan bebas, hasilnya tidak sama dengan perbincangan meja bulat yang diadakan.

"Kadang kala semasa perbincangan meja bulat, orang ramai tidak mempunyai fakta dan bukti. Mereka bercakap berasaskan kepada apa yang mereka rasa.

"Mereka mestilah menyokong pendapat dengan banyak fakta dan bukti sama ada perlu dilakukan perubahan ataupun tidak," beliau dipetik berkata selepas melawat Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini.

Beliau berkata kementerian pada akhirnya akan mengemukakan hasil kajian kepada kabinet sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai isu berkenaan.

Muhyiddin berkata beliau sedia menerima sesiapa juga yang berhasrat memberi pandangan atau memorandum dalam hal itu, dan sekiranya ia baik, pandangan itu boleh diterima pakai.

"Sekarang ini banyak pihak beri pandangan masing-masing. Ada yang setuju dan tidak setuju. Yang penting ialah soal masa depan bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris, yang tidak kurang penting ialah soal masa depan anak kita yang belajar di sekolah," katanya lagi seperti dilaporkan.

Mengenai cadangan bagi menyemak semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Muhyiddin berkata ia akan dilakukan sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan sulungnya kepada rakyat.

Menurut agensi berita itu lagi, beliau berkata perkara itu memerlukan masa bagi membolehkan perundingan diadakan dengan pihak-pihak berkepentingan, masyarakat dan parti-parti politik.

Tuesday, April 28, 2009

PENA: Penentangan PPSMI tidak bermotif politik

Penentangan terhadap dasar pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak bermotifkan politik kerana sudah lebih enam tahun golongan ahli bahasa, penulis dan cendekiawan, menyuarakan pandangan mereka secara sabar dan sopan, kata Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Datuk Baharuddin Zainal.

"Isu PPSMI telah berkembang ke tahap kedua apabila berlakunya penyertaan ahli politik dalam tunjuk perasaan yang digerakkan oleh golongan ahli bahasa, penulis dan cendekiawan," katanya dalam satu kenyataan hari ini

Lanjutannya, tegas Baharuddin, ada pemimpin politik kerajaan menjadikan penyertaan ahli politik sebagai alasan untuk menyelar penentangan tersebut.

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang dianggotai oleh pejuang pendidikan, tokoh bahasa, sasterawan serta ahli-ahli parti politik, menjadi penggerak utama kempen supaya dimansuhkan PPSMI.

Malah, isu PPSMI turut dibawa ke pentas kempen beberapa pilihanraya kecil sebelum ini - bermula dengan Kuala Terengganu - hingga ke pilihanraya Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau, dan bakal diketengahkan sekali lagi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti 31 Mei depan.

"PENA yang sejak Jun 2002, secara terbuka, melalui kenyataan akhbarnya, menentang PPSMI, tetap dengan pendirian asalnya bahawa PPSMI perlu dimansuhkan segera sebelum isu ini mendatangkan implikasi pendidikan, sosial dan politik yang lebih buruk.

"Sudah demikian banyak memorandum, hasil penyelidikan ilmiah, forum dan persidangan diadakan.

"Dan dengan demikian, sudah cukup banyak maklumat, dapatan ilmiah, dan pendapat disampaikan oleh kelompok budayawan dan ilmuwan kepada Kementerian Pelajaran," tegasnya.

Baharuddin berkata, sikap kementerian pelajaran yang menangguh-nangguhkan keputusan selama ini, sangatlah mengecewakan.

"Sedangkan PPSMI telah menjadi isu kebangsaan yang berat sehingga menimbulkan pemikiran bahawa kementerian pelajaran tidak cekap dan pantas menangani masalah, dan tidak sensitif terhadap suara-suara jujur dan rasional rakyat," katanya.

Beliau berkata, sempena pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran, "PENA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dengan iringan doa restu agar beliau dirahmati Allah dengan sikap perjuangan kebangsaan yang tinggi, menghormati warisan dan agama sebagai akar dan asas kemodenan bangsa, dan menempuh kejayaan yang cemerlang".

PENA sekali lagi, katanya, menyeru Muhyiddin memansuhkan PPSMI dan memulihkan kembali peranan dan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains di sekolah rendah dan sekolah menengah kebangsaan.

"Keputusan PENA ini bukan sahaja berasaskan premis bahawa PPSMI memberi natijah buruk kepada perkembangan kognitif dan keadilan pendidikan majoriti anak-anak dari keluarga biasa di luar bandar dan di pinggir bandar, tetapi yang lebih berbahaya PPSMI sedang meminggirkan Bahasa Kebangsaan negara sebagai bahasa ilmu moden," katanya.

Sumber : http://www.malaysiakini.com/news/103217

Wednesday, March 25, 2009

Usul tolak PPSMI diterima tanpa bahas

Dua Wanita Umno bahagian mengesa kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPMSI) yang diamalkan di sekolah-sekolah.

Usul daripada Wanita Umno Ledang, Johor dan Kuala Langat, Selangor itu merupakan sebahagian usul pendidikan yang diterima tanpa bahas dalam perhimpunan Wanita Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

:: Selanjutnya ::

Wednesday, March 18, 2009

Kajian: PPSMI 'bantut kecerdasan murid'

Kajian lapan universiti awam mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) "menimbulkan kerugian berganda kepada murid" dan "tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid."

[ Baca Seterusnya ]

Sunday, March 8, 2009

Malaysia police tear-gas protesters : Al Jazeera

Riot police have used tear gas against at least 2,000 ethnic Malays protesting in Kuala Lumpur against the use of English in local schools, witnesses have said.

The demonstrators were set to march to the royal palace in the Malaysian capital on Saturday to ask for the king's support in ensuring that all schools teach science and maths in Malay.


[ Baca Seterusnya ]