Friday, July 2, 2010

Nik Aziz: Ajar seks ibarat ajar pencuri mencuri


Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak bersetuju pendidikan seks diajar di sekolah kerana menganggap langkah itu memberi lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada generasi muda.

Mursyidul Am PAS itu berkata, langkah itu hanya akan menggalakkan kanak-kanak di bawah umur mempelajari ilmu seks sesama mereka menyebabkan wujudnya gejala negatif seperti pembuangan bayi.

"Dalam Islam sendiri sudah ada pengajaran seks iaitu antaranya kita diwajib mengasingkan tempat tidur apabila anak-anak meningkat umur tujuh tahun, mereka juga diminta hanya melihat bahagian muka dan telapak tangan sahaja apabila bertunang.

"Ini semua adalah pengajaran seks yang sedia ada dalam pendidikan masyarakat Melayu dan Islam hari. Saya tak setuju jika ilmu seks diajar di peringkat sekolah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat, di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas kenyataannya dalam kuliah sebelum itu yang menyelar tindakan sesetengah pihak yang mencadangkan pendidikan seks di sekolah dan menganggap tindakan itu seperti mengajar pencuri kaedah mencuri dengan betul.

Nik Aziz juga mahu agar perbuatan zina dalam Islam dinyatakan sebagai "zina" dan bukan "seks bebas" seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak.

"Apa salahnya kalau seks bebas kita sebut zina, supaya orang Islam berasa gerun dengan perkataan itu yang telah diharamkan Islam dan orang berzina mesti dihukum dengan hukum hudud," katanya.

Isu pendidikan seks telah sekian lama diperbincangkan dengan kebanyakan pihak menggesa langkah itu dilaksanakan bagi menangani permasalahan sosial seperti pembuangan bayi yang semakin berleluasa sekarang.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada keputusan muktamad dibuat mengenai perkara tersebut.

- Bernama

http://www.malaysiakini.com/news/136227

Thursday, July 1, 2010

Memperingati Almarhum Ustaz Fadzil Noor (JUN 2001- JUN 2010)

Islam sebagai satu Al-Din tidak dapat ditakfsirkan dengan fikiran manusia. Dalam mentafsirkan makna Islam itu kita wajib berpandukan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah serta orang yang menghayati Al-Quran dan Al-Sunnah seperti para sahabat, Ulama-ulama dan juag para Tabi’in. Kita tidak melihat dan memahami cara Islam membentuk satu peradaban kemanusian seperti yang digambarkan oleh setengah orang.

Islam juga bukanlah satu kebudayaan atau serpihan daripada kehidupan manusia, kalau kita melihat dan mengambil Islam dengan cara yang sedemikian, dapatlah diumpamakan seperti orang buta yang cuba mengenali seekor gajah.

Bila dipegangnya ekor gajah itu dikatakan gajah itu seperti tali, apabila dipegang kaki gajah itu dikatakannya gajah itu seperti tiang dan apabila terpegangnya telinga gajah itu dikatakan gajah itu seperti dinding .sedangkan tali, tiang dan dinding bukanlah gajah tetapi ia hanya sebahagian daripada anggota-anggota gajah itu.

( Ustaz Fadhil Nor: 1992)

Malaysia semenjak zaman disentuh angin sejahtera Islam sejak ratusan tahun dahulu, tidak pernah gagal untuk menampilkan ulama’ dan pemikir Islam sehingga ada yang bermukim di Mekah untuk menyampaikan ilmu di Masjidil Haram. Ulama’’ yang dilahirkan di Tanah Melayu ini bukan sahaja mampu mengajar kitab di masjid namun menjulang senjata untuk menentang penjajah kuffar. Antara ulama’’ ini ialah Tuan Guru Haji Hassan Bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ustaz Abu Bakar al Bakir dan ratusan ulama’yang lain.

Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.

Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini “Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini.

Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanapa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi.

Latar belakang keluarga

Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.

Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga beliau adalah pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.

Pendidikan

Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962.

Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur kebaktian di tanahair.

Perkahwinan

Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Kemudian setelah berkahwin, menemankan almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.

Bakat Kepimpinan

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Berada di Mesir ketika negara itu diterkam hebat oleh Isreal dalam perang Arab Israel pada tahun 1967, di zaman Gamal Naseer. Beliau juga menjadi saksi bagaimana zalimnya regim Mesir terhadap pejuang-pejuang Islam di negara tersebut. Universiti al Azhar pula tidak sunyi daripada kegiatan Islam yang memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada ustaz Fadhil. ( Universiti tersebut masih mempunyai kebebasan kala itu ).

Perkhidmatan

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.

Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia. PAS wajar ‘disuntik darah muda’ supaya kembali bertenaga, ditengah samudera juang yang memerlukan bahtera yang ampuh. (Pak Natsir jugalah yang menasihatkan ABIM pada ketika itu untuk menghantar Ust. Fadzil Noor kedalam PAS)
Aktiviti Kemasyarakatan

Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah.

Beliau pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Fadzil Nor telah memegang jawatan timbalan Prsiden ABIM dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran.

Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang yang banyak dirujuk oleh Anwar dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO.


Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an.

Ustaz Fadhil sangat memerhatikan gerakan membina anak-anak muda dalam gerakan dakwah, beliau tokoh pembina yang penting di negara ini.

Oleh: Riduan Mohamad Nor (dengan sedikit suntingan).

Tuesday, June 15, 2010

Istiadat Konvokesyen : ILMUWAN Menyokong Pemakaian Songkok



Istiadat Konvokesyan merupakan suatu majlis yang akan diadakan di peringkat IPT yang memberi pengiktirafan kepada Mahasiwa serta meraikan akan usaha mereka sepanjang perjalanan dalam mencari ilmu.

Istiadat ini teh diperkenalkan pada zaman kegemilangan Uthmaniah dimana pada masa itu Islam cukup terkenal dengan kekayaan ilmu pengetahuannya dan majlis penghargaan ini di lahirkan dengan berpakaian jubah dan berserban, sehinggakan orang Eropah pada masa ini meniru cara orang Islam melakukan Istiadan di Institusi pendidikan mereka.

Namun selepas kejatuhan empayar Islam, orang bukan Islam meneruskan budaya ini sehingga hari ini cuma diubah suaikan dengan gaya dan budaya agama mereka.

Namun di KUIS yang merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam perlu melihat dari segia pemakaian dan adat istiadat ini melambangkan ciri-ciri Islam.

Pihak ILMUWAN cukup bersetuju jika pihak KUIS menukar kan topi kepada songkok bagi lekaki dan skaf ( lilit atas kepala) sebagaimana yang bernah di lakukan sewaktu ketika dahulu. Ini kerana pemakaian songkok akan membezakan KUIS dan IPT yang membawa nama Islam itu daripada IPT-IPT yang biasa dan ia nya bersesuaian dengan Visi dan Misi KUIS dan mencapai matlamat sebagaimana moto KUIS : Pemangkin Tradisi Ilmu" yang pasti disitu ialah Ilmu merujuk kepada zaman kekayaan ilmuan Islam di zaman dahulukala.

Kami dan beberapa teman-teman mahasiswa lain yang turut bersetuju dengan cara pemakaian sebagaiman yang dinyatakan diatas tadi dan mohon pihak KUIS terutama YBhg Rektor, Dato' Dr. Aziuddin mempertimbangkan cadangan ini.

Mohd Syahiran Bin Muhammad
Pengerusi,
Ikatan Ilmuwan Muda (ILMUWAN)
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

Monday, May 3, 2010

Gerabak Khas Wanita : ILMUWAN Menyambut Baik Pendekatan KTM


Pada 28 April 2010 yang lalu, pihak Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTM) telah memperkenalkan gerabak khas untuk kaum hawa. Ini merupakan satu pendekatan yang bagus dalam menghindari pelbagai masalah.
Justify Full
Gerabak khas itu boleh dikenal pasti melalui pelekat berwarna merah jambu yang ditampal di setiap cermin tingkapnya.

Pemangku Pengurus Kanan Perhubungan Korporat KTM Komuter, Mohd Fazil Ismail, berkata terdapat juga kain rentang yang dipasang di setiap platform selain pengumuman mengenai pengasingan gerabak itu dibuat di beberapa stesen.

"Di stesen KL Sentral dan Sentul, kami menyediakan kakitangan untuk mengawasi penumpang manakala di stesen Putra, Kuala Lumpur, Bank Negara dan beberapa stesen lain yang menghala ke Sentul, kami akan membuat pengumuman saja berikutan dari kekurangan pekerja," katanya ketika mengiringi wartawan membuat tinjauan hari ini.

Mohd Fazli berkata, beberapa penumpang lelaki agak keliru dan ada yang masih menggunakan gerabak khas itu hari ini.

"Ianya akan mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk melatih orang ramai supaya mematuhi arahan kerana kami akan selaraskan peraturan baru ini dimulai dengan laluan dari stesen Sentul ke Port Klang dulu," katanya.

Mohd Fazli berkata tempoh percubaan akan dilakukan selama seminggu untuk mendapatkan reaksi daripada orang ramai mengenai pengasingan gerabak itu dan pihak KTMB akan menaik taraf sistem tersebut di platform yang lain.

Pihak ILMUWAN KUIS menyambut baik tidakan ini dan ia selari dengan kehendak syarak dimana apabila di asingkan antara lelaki dan wanita, ini akan mengelakkan pelbagai kes seperti cabul, mencuri dan bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim.

Selain itu juga dengan pengasingan ini akan dapat megelakkan daripada anak-anak muda yang bercita yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan semasa di dalam tren. Penumpang wanita juga dapat duduk dengan selesa sepanjang perjalanan di dalam kepenatan selepas pulang bekerja dan tidak perlu berebut dgn kaum lelaki yang kuat untuk masuk ke dalam tren.

Semoga KTM akan diberi kekuatan oleh Allah swt dalam niat ikhlas ini dalam melaksanakan tindakan yang baim yang mengikut hukum syara' dan semoga ia akan terus berkekalan dan menjadi budaya sehingga ke akhirnya.

Mohd Syahiran Bin Muhammad
Pengerusi,
Ikatan Ilmuwan Muda, (ILMUWAN)
KUIS.

Tuesday, April 27, 2010

KENYATAAN MEDIA : PKPIM LANCAR KEMPEN “KEADILAN UNTUK ADIK AMINULRASYID”


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada kes seorang pelajar yang bernama Aminulrasyid Hamzah yang berusia 15 tahun yang dilaporkan mati ditembak oleh anggota polis peronda dalam satu insiden di Shah Alam awal pagi semalam.

PKPIM berpandangan pihak polis tidak wajar melepaskan tembakan ke atas pelajar berkenaan memandangkan pelajar tersebut bukan dalam keadaan yang membahayakan. Sebaliknya, pihak polis masih boleh menggunakan pelbagai cara untuk memastikan pelajar terbabit menyerah diri.

Tambahan pula, mangsa terbabit masih dikategorikan dalam lingkungan bawah umur dan masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam. Maka, bagi PKPIM kes pembunuhan yang trajis ini adalah sesuatu yang mengejutkan dan tidak seharusnya berlaku.

Ekoran itu, sebagai persatuan yang memayungi seluruh pelajar Islam di Malaysia. PKPIM atas rasa tanggungjawab telah melancarkan kempen “Keadilan Untuk Aminulrasyid” melalui kumpulan facebook sebagai suatu anjakan kesedaran kepada seluruh masyarakat untuk menuntut keadilan terhadap kematian seorang pelajar ini.

Kempen yang bergerak melalui kumpulan facebook “Keadilan Untuk Adik Aminulrasyid” ini juga bertujuan untuk menghimpunkan seramai mungkin anggota masyarakat yang prihatin terhadap keluarga mangsa berkenaan. Maka, menerusi suara ini kita akan mendesak agar pihak polis serius dan mengutamakan keadilan dalam melakukan siasatan terhadap insiden yang memalukan ini agar insiden yang sama tidak berulang akibat dari kecuaian pihak polis.

Dalam perkembangan berkaitan, kita juga akan menuntut agar pihak yang berkaitan khususnya media bersifat telus dalam melaporkan setiap siasatan polis kepada orang ramai.



MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

27 April 2010/ 12 Jamadil Awwal 1431 H

Monday, April 19, 2010

Ke Sidang Meja Bulat Isu Kes Pembuangan Bayi



Pada 17 April 2010, pihak Ikatan Ilmuwan Muda, KUIS (ILMUWAN) dijemput ke sidang meja bulat untuk membincangkan isu kes pembungan bayi yang semakin serius akhir-akhir ini. Sidang ini dibuat di Shafie Conference Room, Kulliyyah Ilmu Wahyu & Warisan Islam, Universiti Islam Malaysia (UIAM), Gombak , Selangor anjuran Majlis Hal Ehwal Siswi Islam (HEWI) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM).

ILMUWAN yang merupakan cawangan PKPIM di KUIS telah mewakilkan pengerusinya Saudara Mohd Syahiran b. Muhammad ke persidangan tersebut dan turut hadir pimpinan dari kampus lain seperti UNISEL, UM, UIA, UPM dan lain-lain lagi.

Kerjasama itu diadakan kerana mahasiswa ingin bersama-sama dengan kerajaan dan masyarakat untuk memastikan generasi muda Islam di negara ini bebas daripada gejala sosial menjelang 2020.

Perbincangan itu dikendalikan oleh Naib Presiden HEWI PKPIM, Nor Akmariah Abdullah dengan ahli panel terdiri daripada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Sopian Ibrahim dan Pegawai Penyelidik Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS), Aminah Ismail.

Selain itu ialah Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Siddiq dan Ahli Jawatankuasa Belia Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Maryam Aizuddin.

12 resolusi yang dipersetujui dalam sidang ini antaranya ialah melaksanakan program-program kesedaran mengenai isu pembuangan bayi baik yang berskala besar atau kecil.

''Kami juga bersedia membantu mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan program-program kesedaran di kawasan masing-masing,'' katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan memperbanyakkan program pembangunan remaja lelaki dan perempuan untuk tempoh jangka panjang dalam usaha melahirkan generasi muda yang mempunyai jati diri yang kukuh, menjadikan ilmu sebagai keutamaan dan mempunyai pegangan agama yang kukuh.

''Selain itu kami juga akan memperkasakan siri-siri kuliah agama anjuran PKPIM supaya dapat memperbetul dan memperkukuhkan pandangan hidup remaja sebagai seorang muslim,'' katanya.

Thursday, April 15, 2010

PERNYATAAN SIKAP TERHADAP ISU JENAYAH QADHAF


بسم الله الرحمن الرحيم

لقد أرسلنا رسلنا بالبيّنات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط وأنزلنا الحديد فيه بأس شديد ومنافع للناس وليعلم الله من ينصره ورسله بالغيب إن الله قوى عزيز

Sungguh, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Dan Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya walaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesunggguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa.

Al-Hadid:25

Petikan ayat 20 surah al-Hadid di atas seharusnya menyedarkan kita bahawa sesungguhnya keadilan (al-qist) adalah rumusan misi seluruh agama samawi. Demikianlah, Islam yang memang terumpun dalam warga agama-agama wahyu meletakkan keadilan di puncak hiraki sistem nilainya dan sekaligus menjadikannya salah satu maqasid (matlamat) utamanya. Selaras dengan itu umat Islam dituntut menegakkan keadilan (iqamat al-`adl) sebagaimana yang tersurat dan tersirat dalam syari`at. Justeru, keadilan yang hakiki dan mutlak hanya ada dalam syari`at, hukum-hakam Ilahi yang merupakan penjelmaan keadilan-Nya (`adlu 'Llah).

Komitmen keislaman hanya dapat menepati erti hakikinya apabila maqasidnya terlaksana. Maqasid al-shari`ah dalam erti objektif, tujuan dan matlamat syari`at yang menjadi tema besar wacana usuli meliputi keperluan dan hak asasi yang mesti dipelihara dan dijamin demi martabat, maslahah dan survival kemanusiaan. Antara yang terliput dalam cakupan maqasid tersebut ialah jaminan perlindungan terhadap maruah dan kehormatan diri. Dalam pidato haji perpisahan yang merumuskan sari utama misi kerasulanya, Rasulullah s.`a.w. menyebut maruah (al-a`rad) sebagai suatu yang suci, suatu yang mesti dihormati tanpa kompromi. Memang demikianlah hakikatnya, Islam melindungi maruah dan kehormatan diri umat menerusi hukum-hakamnya yang jelas dan tegas, cukup untuk mencegah kesewenang-wenangan mencemarkan maruah seseorang. (Untuk penyataan penuh sila klik di sini).

Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.

Kedaulatan syari`at adalah asas pembangunan umat dan masyarakat yang murni, bermaruah dan berintegriti. Masyarakat Islam dengan ciri-cirinya yang sedemikian itu tidak dapat menerima budaya fitnah, ghibah dan gosip yang membawa akibat fatal: keruntuhan martabat dan maruah umat keseluruhannya. Para pelaku dan penabur fitnah sebenarnya tidak layak hidup di tengah umat yang bermaruah dan berbudaya saling hormat. Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf. Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara` seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan.

Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at? Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر)

Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah. Sementara itu kita juga ingin mengingatkan bahawa dalam melaksanakan proses perundangan secara Islam, yang seharusnya dicari adalah kebenaran, keadilan dan keredhaan Tuhan, bukan loophole dalam teks undang-undang untuk dieksploitasi membela kezaliman.

Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah). Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya:



إنَ الذين جاءوبالإفك عصبة منكم لاتحسبوه شرًا لكم بل هو خيرلكم لكل امرئ منهم

مااكتسب من الإثم والذى تولَى كبره منهم له عذاب عظيم.

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula).

Al-Nur:11

إنَ الذين يحبّون أن تشيع الفاحشة فى الذين آمنوا لهم عذاب أليم فى الدنيا والأخرة والله يعلم

وأنتم لاتعلمون



Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang Beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.



Al-Nur:19



Demikianlah kerasnya amaran pembalasan Tuhan kepada perancang fitnah dan penyebar berita bohong. Malah sekadar "…ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar…" sudah cukup untuk membawa akibat ditimpa azab yang pedih dua kali, di dunia sekarang dan di akhirat nanti. Masing-masing akan merasakan kepedihan azab Tuhan mengikut kadar peranan yang dimainkan dalam kegiatan jahat tersebut.

Masyarakat Melayu-Islam adalah masyarakat yang bersusila dan beradab. Manusia unggul dalam pandangan sarwa (worldview) Melayu diungkapkan dengan kata "orang budiman", ungkapan yang melambangkan kesempurnaan watak manusia cendekia dan berakhlak mulia. Melayu yang hidupnya dikandung adat adalah bangsa yang sentiasa mengawal perilakunya dengan nilai dan norma agama dan budaya. Kesetiaan terhadap nilai-nilai itulah yang membentuk etos bangsa yang tersirat di balik kata "pantang Melayu", ungkapan yang merujuk sikap ketidakrelaan melakukan atau diperlakukan di luar batas nilai-nilai budayanya. Dalam kaitan ini perlu diingat bahawa antara pantang Melayu paling besar ialah mengaib atau diaibkan. Demikianlah sebagaimana yang dinyatakan secara eksplisit dalam dialog Seri Teri Buana - Demang Lebar Daun. Dialog yang disebut "wa`ad" oleh Tun Seri Lanang itu adalah sebuah dokumen budaya yang dimaknai sebagai kontrak sosial Melayu antara penguasa dan rakyat. Seri Teri Buana yang menyimbolkan penguasa Melayu menyetujui tuntutan Demang Lebar Daun yang bertindak sebagai jurubicara rakyat, agar rakyat Melayu walau apa pun kesalahannya, "jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar`i."

Memang kata-kata tersebut bukan teks suci keagamaan, tetapi ia tetap mempunyai makna dan significance kebudayaan yang istimewa. Justeru ia adalah pernyataan kesedaran Melayu tentang maruah dan karamah insaniah; bahawa manusia (Melayu) sekecil mana pun harus dihormati dan tidak boleh diaibkan. Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) adalah karya agung yang mengungkapkan hikmah (wisdom) tradisi kepujanggaan bangsa tentang erti keluhuran etika sehingga "…segala raja-raja Melayu tiada pernah memberi `aib pada segala hamba Melayu, …". Dengan gaya dan daya kepengarangannya yang istimewa Tun Seri Lanang menyuarakan ketajaman firasat dan sekaligus amaran, "Jikalau ada seorang raja memberi `aib itu `alamat negeri akan dibinasakan Allah Subhanahu wa Ta`ala." Demikianlah teks sebuah karya dari khazanah kepujanggaan bangsa yang mengabadikan suara hati dan akal budi Melayu sebagai bangsa yang memiliki kehormatan dan harga diri, yang demi maruah sanggup menderhaka apabila di`aibkan. Kontrak sosial Melayu memberikan isyarat jelas bahawa setia Melayu adalah setia bersyarat, sebagaimana derhakanya juga adalah derhaka bersebab. Setia Melayu yang tanpa syarat hanya kepada syari`at, rela menerima sebarang keputusan dan tindakan "…jikalau patut pada hukum syar`i."

Demi menghindari krisis yang diungkapkan oleh Tun Seri Lanang dengan kata "binasa" itu, jangan siapa pun melanggar pantang Melayu, dan jangan siapa pun menolak syari`at. Bangsa ini jangan diajar menjadi liar, tetapi kembalikanlah ke akar agama dan budayanya.

Sekretariat Bersama,

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

www.abim.org.my