Monday, April 19, 2010

Ke Sidang Meja Bulat Isu Kes Pembuangan Bayi



Pada 17 April 2010, pihak Ikatan Ilmuwan Muda, KUIS (ILMUWAN) dijemput ke sidang meja bulat untuk membincangkan isu kes pembungan bayi yang semakin serius akhir-akhir ini. Sidang ini dibuat di Shafie Conference Room, Kulliyyah Ilmu Wahyu & Warisan Islam, Universiti Islam Malaysia (UIAM), Gombak , Selangor anjuran Majlis Hal Ehwal Siswi Islam (HEWI) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM).

ILMUWAN yang merupakan cawangan PKPIM di KUIS telah mewakilkan pengerusinya Saudara Mohd Syahiran b. Muhammad ke persidangan tersebut dan turut hadir pimpinan dari kampus lain seperti UNISEL, UM, UIA, UPM dan lain-lain lagi.

Kerjasama itu diadakan kerana mahasiswa ingin bersama-sama dengan kerajaan dan masyarakat untuk memastikan generasi muda Islam di negara ini bebas daripada gejala sosial menjelang 2020.

Perbincangan itu dikendalikan oleh Naib Presiden HEWI PKPIM, Nor Akmariah Abdullah dengan ahli panel terdiri daripada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Sopian Ibrahim dan Pegawai Penyelidik Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS), Aminah Ismail.

Selain itu ialah Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Siddiq dan Ahli Jawatankuasa Belia Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Maryam Aizuddin.

12 resolusi yang dipersetujui dalam sidang ini antaranya ialah melaksanakan program-program kesedaran mengenai isu pembuangan bayi baik yang berskala besar atau kecil.

''Kami juga bersedia membantu mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan program-program kesedaran di kawasan masing-masing,'' katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan memperbanyakkan program pembangunan remaja lelaki dan perempuan untuk tempoh jangka panjang dalam usaha melahirkan generasi muda yang mempunyai jati diri yang kukuh, menjadikan ilmu sebagai keutamaan dan mempunyai pegangan agama yang kukuh.

''Selain itu kami juga akan memperkasakan siri-siri kuliah agama anjuran PKPIM supaya dapat memperbetul dan memperkukuhkan pandangan hidup remaja sebagai seorang muslim,'' katanya.